Sunday 1 March 2015

PENGAJIAN MALAYSIA: PEMBENTUKAN MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA

BAB 1
PENGENALAN


           Masyarakat majmuk memang sinonim dengan  Malaysia sebagai sebuah negara yang bercirikan pelbagai kaum dan juga identiti. Terdapat lebih 80 kaum di seluruh Malaysia. Daripada keseluruhan bangsa tersebut terdapat tiga bangsa yang paling utama iaitu Melayu, Cina  dan India. Malaysia pada hari ini didiami oleh pelbagai bangsa, kaum dan etnik dari  Perlis hinggalah ke Sabah. Kepelbagaian kaum dan etnik inilah maka wujud pula kepelbagaian budaya, bahasa , agama dan adat resam. Corak perubahan rakyat Malaysia ini berlaku  disebabkan oleh perubahan masa dan keadaan seperti yang berlaku pada perubahan struktur politiknya, sebelum abad ke 18 dan ke 19. Pada hari ini, masyarakat majmuk di malaysia terjadi secara tidak sengaja.
            
              Malaysia merupakan sebuah negara mempunyai komposisi masyarakat yang majmuk dan melibatkan berpuluh-puluh etnik dan bangsa meliputi Malaysia timur dan Malaysia barat. Namun terdapat tiga bangsa yang bersifat majoriti di Malaysia iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Di Sarawak etnik yang paling ramai ialah etnik Iban yang mewakili 30 peratus dari keseluruhan etnik di Sarawak. Di Sabah pula etnik yang paling ramai ialah etnik Kadazan-Dusun yang terdiri 27 suku. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat cetakan 2007, masyarakat majmuk bermaksud masyarakat yang terdiri daripada beberapa kaum dan suku. 

              Menurut J. S Furnival (1948) masyarakat majmuk terdiri daripada berbagai kaum dan etnik yang mempunyai kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam yang tersendiri meskipun berada di bawah sistem politik yang sama. Manakala menurut Kamarudin Jaafar masyarakat majmuk bermaksud kaum bercampur tetapi kehidupan berasingan, interaksi terbatas, penuh prasangka serta bersama tetapi tidak bersatu.

               Masyarakat majmuk boleh dibahagikan kepada tiga ciri utama iaitu dari sudut politik,ekonomi dan sosial. Ciri-ciri masyarakat majmuk pertama dari sudut politik bermaksud bangsa yang mempunyai tingkah laku tersendiri dalam pendirian politik. Parti politik dominan lebih berteraskan perkauman dan mengamalkan politik perkauman. Selain itu terdapat juga parti politik yang berasaskan keagamaan kerana mempunyai pendirian kepercayaan yang berbeza. 
      
               Dari sudut ekonomi masyarakat majmuk membawa erti setiap masyarakat mempunyai pengkhususan pekerjaan yang berbeza. Perbezaan pekerjaan juga membawa kepada perbezaan tempat tinggal, taraf kehidupan, dan komposisi kaum di setiap negeri. Setiap bangsa mempunyai interaksi yang lebih di dalam kaum masing-masing dan kurang berinteraksi di antara kaum. Masyarakat majmuk juga mempunyai azam sosial yang sama. Kewujudan pelbagai kaum dan etnik juga mewujudkan kehidupan yang penuh berprasangka, konflik dan pertentangan dalaman dan luaran.  

                                                      
                                                                     
LATAR BELAKANG KAJIAN

        Komposisi dan taburan penduduk di Tanah Melayu sebelum merdeka mempunyai tiga kaum yang terbesar dan utama di Tanah Melayu ialah Melayu, Cina dan India. Sebelum penemuan tapak bijih timah oleh Long Jaafar pada tahun 1848, hampir kesemua penduduk di Tanah Melayu terdiri daripada orang Melayu. Pada pertengahan abad ke 19, berlaku penghijrahan masuk kaum Cina dan India secara beramai-ramai ke Tanah Melayu. Fenomena ini berlaku kerana dasar kolonial British yang membawa masuk kaum-kaum tersebut terutama untuk mengerjakan ekonomi.

         Pemajmukan masyarakat Tanah Melayu telah menyebabkan British mentadbir menggunakan dasar ‘pecah dan perintah’ iaitu divide and rule. Dasar ini memberi makna kelemahan penglibatan bumiputera, tetapi pada masa yang sama memberi pengkhususan kepada kaum imigran dan memastikan pengasingan setiap kaum. Kaum imigran dibiarkan untuk mengekalkan identiti dan budaya masing-masing sementara perhubungan langsung dengan kaum-kaum lain terutama dengan bumiputera tidak digalakkan. Penguasaan ekonomi orang Melayu terhadap sektor ekonomi negeri masing-masing semakin berubah dan merosot setelah campurtangan British dalam hal-ehwal politik tempatan. Kemasukan buruh2 asing juga telah mengubah struktur ekonomi masyarakat Melayu.

          Abad ke-19 memperlihatkan penguasaan Inggeris ke atas struktur politik dan ekonomi Tanah Melayu secara meluas. Aktiviti perlombongan bijih timah yang merupakan sumber kekayaan Tanah Melayu diekploitasikan sepenuhnya oleh British. Kesan yang jelas melalui dasar liberal British ialah pembentukan masyarakat negara yang berbilang kaum serta kepelbagaian cara hidup dan keturunan. Penghijrahan secara besar-besaran ini telah mengubah struktur kependudukan asal Tanah Melayu. Dari segi peratusan, peratus penduduk Melayu semakin kecil dari 54% merosot menjadi 49% pd tahun 1921 dan menurun lagi kepada 45% pada tahun 1931


                                                  
I.        KAUM MELAYU

Ø Orang Melayu boleh ditafsirkan sebagai penduduk asal Tanah Melayu di mana nenek moyangnya datang dari Indo-China atau Yunnan lebih 3500 tahun dahulu. Namun penduduk Melayu kini sebenarnya lebih ramai ekoran kemasukan beberapa lagi kelompok masayarakat Melayu dari kepulauan lain ke Tanah Melayu.

Ø Sejak abad ke-9 lagi telah berlaku penghijrahan beramai2 masyarakat Melayu Indonesia ke Tanah Melayu. Penghijrahan ini berlaku ekoran kedudukan ekonomi, politik dan sosial yang mampu menjamin keselesaan mereka.                                                                        

Ø Sebelum zaman penjajahan, kegiatan ekonomi utama masyarakat Melayu ialah perdagangan. Perdagangan utama ialah melalui sungai-sungai utama di negeri Melayu. Justeru itu, kerajaan-kerajaan Melayu tradisional lebih tertumpu di tepi-tepi sungai.

Ø Penguasaan ekonomi orang Melayu terhadap sektor ekonomi negeri masing-masing semakin berubah dan merosot setelah campur tangan British dalam hal-ehwal politik tempatan. Kemasukan buruh-buruh asing juga telah mengubah struktur ekonomi masyarakat Melayu.



II.      KAUM CINA

Ø Penghijrahan masuk masyarakat Cina secara beramai-beramai berlaku selepas pengambilan Pulau Pinang oleh British dari tangan Sultan Kedah pada tahun 1876, pengambilalihan Singapura dari tangan Sultan Johor pada tahun 1819 dan selepas penubuhan Negeri-negeri Selat pada tahun 1826.

Ø Kebanyakan masyarakat Cina berasal dari Wilayah Kwangtung dan Tukuin serta dari daerah Amoy, sen-Yu, Hok-Chiu, Eng-Chon dan lain-lain.

Ø Pada peringkat awal, buruh-buruh Cina bertumpu di tapak2 perlombongan awal seperti di Lukut dan Sungai Ujong. Penghijrahan semakin pesat sejajar dengan perkembangan aktiviti perlombongan.

Ø Catatan menunjukkan menjelang tahun 1870, bilangan masyarakat Cina di Sungai Ujong hampir 10,000 orang dan di Larut Perak pada tahun 1873 terdapat seramai 40,000 orang.


                                                                         
III.    KAUM INDIA

Ø Walaupun kedatangan buruh India ke Tanah Melayu hanya ketara pd abad ke 19 dan ke 20, sebenarnya hubungan antara India dengan Semenanjung Tanah Melayu telah berlaku lebih awal lagi.

Ø Hubungan terawal telah bermula sejak abad pertama Masihi apabila penganut Hindu-Buddha menyebarkan agama mereka di Nusantara. Hubungan seterusnya kelihatan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka apabila pedagang2 India berniaga di pelabuhan Melaka.

Ø Penghijrahan masyarakat India ke Tanah Melayu berlaku secara besar-besaran mulai tahun 1840-an. Kebanyakan buruh India datang dari selatan India. Buruh2 India bermula sebagai pekerja di ladang2 tebu dan kopi di Seberang Prai.

Ø Tumpuan masyarakat India ini ialah di kawasan2 utama penanaman getah di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Catatan menunjukkan dari tahun 1900 hingga 10 tahun kemudiannya, seramai 48,000 buruh India telah berhijrah ke Tanah Melayu

Ø Angka ini meningkat secara mendadak 10 tahun kemudiannya, iaitu antara tahun 1911 hingga 1920 apabila dianggarkan seramai 908,000 buruh India berhijrah ke Tanah Melayu.




PERNYATAAN MASALAH

           Kerajaan mengenal pasti negara ini menghadapi masalah perpaduan yang ketara apabila tercetus rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Walaupun rusuhan ini berlaku di Kuala Lumpur sahaja, namun peristiwa ini mencerminkan masalah sebenar yang dihadapi oleh seluruh masyarakat di segenap pelosok negara. Hasil kajian ynang dijalankan, masalah-masalah yang wujud ini boleh dikenal pasti melalui beberapa situasi meliputi ekonomi, politik dan sosial.


1. Dasar British

            British menggalakkan kemasukan buruh India dan Cina untuk kepentingan perkembangan sektor perladangan dan perlombongan. Kehadiran mereka telah mewujudkan masyarakat majmuk di Tanah Melayu. Perkembangan perusahaan bijih timah dan getah telah menyebabkan kemasukan buruh dari Cina dan India. Keadaan ekonomi dan politik yang tidak tenteram seperti peristiwa Pemberontakan Taiping dan pemberontakan Boxer yang menyebabkan ribuan nyawa terkorban.

             Keadaan ekonomi yang buruk seperti pertambahan penduduk yang pesat, kekurangan makanan, bencana alam seperti banjir, kemarau dan gempa bumi yang sering berlaku memusnahkan banyak nyawa dan harta benda telah menjadi faktor penolak untuk berhijrah ke Tanah Melayu. Perkembangan ekonomi yang pesat dan pertapakan modal asing di Tanah Melayu terutamanya dalam sektor perlombongan bijih timah telah menarik minat orang Cina ke Negara ini. Penghijrahan kaum India pula adalah disebabkan masalah ekonomi dan sosial. Seperti pertambahan penduduk yang pesat dan tidak seimbang dengan keluasan tanah pertanian, bencana alam seperti banjir, kemarau, kebuluran yang kerap berlaku dan merebaknya wabak penyakit telah mendorong mereka berhijrah ke negara ini.

            Perkembangan pesat perusahaan getah di Tanah Melayu pada awal abad ke-20 meningkatkan keperluan tenaga buruh. Akibat perkembangan revolusi perindustrian, permintaan tenaga buruh yang semakin tinggi dan dasar British yang menggalakkan kemasukan buruh-buruh India telah menarik minat mereka ke negara ini. Kegiatan ekonomi yang berbeza antara kaum, iaitu orang Cina bekerja sebagai pelombong, orang India bekerja sebagai pekerja ladang dan buruh jalan raya dan jalan kereta api manakala orang Melayu kekal sebagai nelayan dan petani.


2. Kawasan penempatan yang berbeza

        Kawasan pertempatan yang berbeza seperti orang Cina tinggal di lombong- lombong bijih timah yang kemudiannya berkembang menjadi bandar seperti Taiping, Ipoh, Port Weld, Tapah dan Kampar di Perak manakala Kuala Lumpur, Port Swettenham dan Klang di Selangor serta Seremban dan Port Dickson di Negeri Sembilan. Manakala orang India tinggal di kawasan ladang getah yang terpencil daripada orang Cina dan Melayu. Masyarakat Melayu pula kekal tinggal di kampung-kampung di luar bandar dan di bandar-bandar mengikut tradisi perkampungan masing-masing.


3. Agama

           Setiap kaum mengamalkan agama yang berbeza dan rumah ibadat yang berbeza. Orang Cina dan India membawa bersama agama mereka ke kawasan petempatan baru tersebut. Mereka juga membina rumah ibbadat di kawasan penempatan mmasing-masing. Orang Melayu beragama Islam, orang India sebahagian besarnya beragama hindu manakala orang Cina pula beragama Buddha.
          
        Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan mencatatkan dengan jelas bahawa agama Islam merupakan agama Persekutuan. Namun pada masa yang sama, agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Justeru, kepelbagaian agama dan kepercayaan di dalam negara tidak menghalang perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum 


4. Pendidikan dan persekolahan

          Pendidikan juga berbeza mengikut suku kaum. Pendidikan Cina untuk orang Cina, buku-buku dan guru-gurunya juga dibawa dari China. Kebanyakan sekolah Cina dibina di kawasan perlombongan yang kemudiannya menjadi bandar. Sekolah tamil pula dibina untuk anak-anak kaum India yang tinggal di kawasan ladang getah . Buku-buku dan guru-gurunya dibawa dari India. Manakala pendidikan Melayu hanya untuk orang Melayu. Perbezaan ini telah mewujudkan masyarakat majmuk di Tanah Melayu.


5. Sosio budaya

           Setiap kaum Cina, India dan Melayu mengamalkan cara hidup yang berbeza . Bagi Cina dan India, mereka mengekalkan amalan sosio budaya mereka seperti pakaian, bahasa dan budaya. Di samping itu, wujud pertubuhan di petempatan masing-masing yng kegiatannya berdasarkan kepentingan sesuatu kaum. Perkembangan ini menyebabkan masyarakat Cina, India dan Melayu hidup sebagai sebuah masyarakat tersendiri.


                                                                      
OBJEKTIF KAJIAN

Ø Memberi kesedaran pelajar untuk melengkapkan diri bagi menghadapi dan menangani pelbagai cabaran kehidupan dalam masyarakat majmuk.

Ø Generasi masa kini perlu bersama-sama mengekalkan keamanan negara dengan menunjukkan sikap perpaduan yang jitu.

Ø Memahami dan mempelajari budaya kaum yang lain untuk mengelakkan sifat prejudis sesama mereka.

Ø Menghargai jasa dan sumbngan nenek moyang mereka yang telah bersusah payah datang ke Tanah Melayu untuk mencari kehidupan yang baru dan memberi peluang untuk mejadi warganegara Tanah Melayu.

Ø Memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara rakyat-rakyat yang pelbagai kaum supaya dapat menghadai pelbagai ancaman dan cabaran yang akan menggugat kesejahteraan rakyat Malaysia.



PERSOALAN KAJIAN

i. Politik

         Dasar imigrasi Inggeris berbentuk bebas iaitu tidak mempunyai sekatan terhadap kemasukan orang asing telah berlaku sejak tahun 1874.  Sistem-sistem kemasukan seperti kontrak dan bebas adalah merupakan cara-cara orang Inggeris menggalakkan kemasukan orang asing ke Tanah Melayu.  Pada tahun 1930an, Inggeris memperketatkan dan menguatkuasa dasar imigrasi dengan bertindak menghantar pulang orang-orang imigran balik ke negara asal mereka.  Perkara ini amat berbeza dengan tindakan yang dilakukan oleh orang Inggeris kepada pendatang asing ke Tanah Melayu sebelumnya.  
   
        Pada tahun 1930an juga undang-undang imigrasi menghalang kemasukan baru orang asing ke Tanah Melayu.  Tiada sekatan terhadap kemasukan orang asing ke Tanah Melayu sebelum undang-undang imigrasi pada tahun 1930an kerana keperluan Inggeris untuk mendapatkan tenaga buruh bagi merancakkan ekonomi perlombongan, peladangan dan pembinaan prasarana baru seperti pembinaan jalan kereta api dan jalan raya.
         
         Kewujudan jabatan Pelindungan Orang Asing adalah untuk melindungi para buruh imigran daripada ditindas dan dianiaya oleh kongsi gelap mahupun majikan.  Jabatan Pelindungan Orang Asing yang dilindungi oleh pemerintah Inggeris terhadap buruh-buruh asing  menunjukkkan seolah-olah kerajaan Inggeris menggalakkan kemasukan buruh asing.  Tindakan dan dasar kerajaan Inggeris  mempastikan mereka tidak kehilangan buruh bagi menjana ekonomi Tanah Melayu.  

          Kewujudan undang-undang buruh yang memerlukan para majikan untuk memberikan kemudahan yang sepatutnya kepada buruh imigran diperkukuhkan lagi dengan adanya Jabatan Pelindungan Orang Asing.  Jabatan Pelindungan Orang Asing bukan sahaja menggalakkan kemasukan buruh asing tetapi menggalakkan mereka untuk tidak pulang ke negara asal.  Pada tahun 1927–1932 sewaktu kemelesetan ekonomi orang-orang asing hendak pulang ke negara asal mereka dan menjadi masalah kepada pemerintah Inggeris.


ii. Ekonomi                                                                                                                           
         Perubahan sistem sara diri kepada sistem komersial disebabkan dasar ekonomi komersial, kapitalisme dan bebas berlaku.  Ini mengakibatkan pembukaan tanah dan ladang serta peningkatan pelombongan bijih timah telah banyak mendorong kepada wujudnya sistem  ekonomi moden berteraskan industri berasaskan buruh. Oleh itu, keperluan pemodenan prasarana baru memerlukan tenaga buruh dan berlakulah kemasukan buruh-buruh asing.


iii. Sosial

         Dasar pendidikan pemerintahan Inggeris lebih menjuruskan aspek penekanan.  Dasar ini menjelaskan bagaimana wujudnya masyarakat majmuk di Malaysia.  Inggeris menggalakkan perbezaan kaum dan melebarkan lagi jurang perpaduan di Malaysia iaitu melalui dasar pendidikan yang berteraskan negara ibunda.  Oleh itu, kita dapat melihat tindakan Inggeris yang tidak menyeragamkan sukatan pendidikan dan pendidikan guru.  Dengan kewujudan sukatan pendidikan yang berbeza serta keperluan guru berasaskan tindakan komuniti setiap kaum di Malaysia telah meninggalkan kesan keadaan ini.
         
         Setiap kaum mengambil inisiatif mengikut sukatan pendidikan serta mengambil guru dari negara asal mereka.  Ini jelas menunjukkan bahawa Inggeris tidak mempunyai agenda bagi menghalang ketidakseragaman dalam dasar pendidikan mereka.  Sementelah orang-orang Melayu hanya mendapat pendidikan kemahiran bagi mengerjakan kerja-kerja sara diri sahaja dan tidak diberi peluang untuk mendapatkan kemahiran dan ilmu akademik.  Anak-anak para bangsawan Melayu dikhaskan mendapatkan kemahiran dan ilmu akademik.  Justeru, keadaan dasar ini sebenarnya menggalakkan lagi kemasukan orang asing kerana mereka tahu bahawa mereka masih lagi memperolehi pendidikan walaupun di negara asing.  Oleh itu, ini menjelaskan bahawa Inggeris sebenarnya menggalakkan kemasukan mereka dan menjaga kebajikan mereka bagi keuntungan ekonomi penjajah.
         
            Di Malaysia, etnik merupakan sekelompok manusia yang mengamalkan budaya yang hampir seragam, termasuk adat resam, pakaian, bahasa dan kegiatan ekonomi adalah merupakan konsep masyarakat majmuk yang merujuk kepada etnik.  Konsep-konsep ras dan bangsa adalah konsep etnik yang mempunyai pengertian dan saling berkait rapat.  Justeru itu, menurut Mansor Abdul Rahman & Mohamad Ainuddin (2006), ras dan bangsa memberikan tekanan kepada perbezaan fizikal atau sifat-sifat biologi iaitu keturunan dan pertalian darah yang sama antara sesama manusia.  Terdapat pelbagai kelompok etnik yang hidup berlainan tetapi di bawah sistem politik yang sama merupakan konteks masyarakat majmuk Malaysia.



KEPENTINGAN KAJIAN

          Kepentingan mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk ialah untuk mengekalkan keharmonian dan mengelakkan perselisihan. Penduduk Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa boleh hidup aman damai sejak dahulu lagi kerana adanya perasaan saling menghormati dan memahami antara satu sama lain. Amalan nilai murni ini menjadi tunjang kekuatan sesebuah negara. Perkara ini dapat mengelak berlakunya perselisihan seperti kejadian dalam sejarah hitam negara iaitu peristiwa 13 Mei 1959. Rusuhan kaum yang berlaku tidak memberi apa-apa keuntungan malah membawa banyak kemudaratan.

         Perpaduan kaum yang wujud juga turut mempercepat dan memperkasa pembangunan negara. Rakyat Malaysia yang terkenal dengan sikap bertoleransi dan hidup bersatu-padu memangkinkan usaha memajukan negara dalam segenap aspek merangkumi ekonomi, sosial, politik dan pendidikan. Pembangunan pesat yang jelas kelihatan pada hari ini membantu masyarakat menjalani kehidupan seharian dengan selesa. Sebaliknya, jika keharmonian kaum terancam maka amat sukarlah kerajaan mengatur agenda mencapai kemajuan negara. Kesannya negara akan ketinggalan dan rakyat menderita kemiskinan.

         Bagi merealisasikan kejayaan negara dengan ramuan perpaduan kaum ini, maka bagai usaha ke arahnya hendaklah terus dijalankan. Antara lain, kerajaan mewujudkan banyak dasar bertujuan menerapkan nilai-nilai bagi mengekalkan perpaduan kaum. Terkini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan konsep ‘1 Malaysia’. Dasar kepimpinan yang memperkenalkan konsep “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” memperlihatkan keutamaan masyarakat dalam pencapaian sesebuah negara. Tanpa rakyat yang bersatu padu maka pincanglah negara itu



SKOP KAJIAN

         Kajian ini bertujuan untuk mengetahui bagaimana masyarakat majmuk terbentuk di Tanah Melayu dahulu kala dan sebab imigran Cina dan India berhijrah ke Tanah Melayu. Kemasukan kaum Cina dan India di Tanah Melayu menyebabkan berlakunya perpecahan dan rusuhan kaum yang tinggi sehingga berlakunya pertumpahan darah seperti tragedi rusuhan 13 Mei 1969. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk memupuk semula perpaduan masyarakat majmuk.



BAB 2
KAJIAN PERPUSTAKAAN


      Ekoran dasar pecah tanah dan perintah yang dilaksanakan oleh pihak penjajah dan dasar tidak menggalakkan percampuran antara kaum telah mencetuskan masalah perkauman dalam negara. Kejadian rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, misalnya merupakan kemuncak daripada tekanan perasaan yang dialami oleh setiap kaum, terutama akibat daripada tiadanya persefahamana, tolak ansur dan kasih sayang. Bagi merealisasikan integrasi nasional dan pembentukan negara bangsa, maka kerajaan mengambil iktibar daripada kejadian tersebut dan merangka dasar-dasar seperti rukun Negara, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Ekonomi telah memperkenalkan dan diuar-uarkan ke seleruh negara supaya prinsip-prinsipnya dapat dihayati oleh segenap rakyat tanpa mengira kaum.




BAB 3
KAEDAH KAJIAN


1) Sistem persekolahan yang sama bagi semua

        Pada asasnya Laporan Razak mencadangkan penubuhan sekolah-sekolah umum yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya dan sekolah-sekolah jenis umum menggunakan bahasa pengantar Cina, Tamil dan Inggeris. Kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa untuk perpaduan jelas dinyatakan. Laporan ini telah menjadi rujukan sebagai dasar pendidikan kerajaan sehingga kini & bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar di semua peringkat sekolah.

2) Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama

        Cara paling penting untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ialah melalui penggunaan bahasa kebangsaan. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Langkah ini mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa hormoni antara kaum di negara ini.

3) Kurikulum yang sama

        Kurikulum ialah satu rancangan pendidikan yang terkandung di dalamnya segala ilmu pengetahuan serta kemahiran, nilai-nilai dan norma, unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan yang telah menjadi pilihan masyarakat untuk diperturunkan kepada ahli-ahlinya. Peranan kurikulum dalam pendidikan adalah untuk membina perkembangan pelajar yang lengkap dari segi jasmani, rohani, akal dan emosi. Dalam konteks negara Malaysia, kurikulum juga berperanan untuk melahirkan rakyat yang mendokong cita-cita negara dalam mewujudkan perpaduan yang berpandukan Rukun Negara di samping menghasilkan tenaga rakyat yang terlatih untuk keperluan negara (modal insan)

4) Sukatan pelajaran yang seragam

        Sukatan pelajaran yang sama isi kandungannya yang disyorkan oleh Penyata Razak adalah dianggap sebagai salah satu asas sistem pelajaran kebangsaan bagi mewujudkan perpaduan negara. Mata pelajaran Sejarah memainkan peranan penting ke arah matlamat pembangunan. Melalui pelajaran Sejarah diharapkan dapat membina semangat perpaduan dan perasaan hormat menghormati terutama dalam masyarakat yang berbilang kaum, agama dan adat resam. Sukatan pelajaran yang seragam membolehkan pandangan dunia (world view) setiap kaum di Malaysia hampir sama & tidak mewujudkan perselisihan dalam persefahaman.


5) Peperiksaan yang seragam

        Rancangan kerajaan untuk menyeragamkan kurikulum di sekolah-sekolah telah diperkukuhkan lagi dengan mewujudkan satu sistem peperiksaan yang seragam. Dengan adanya sukatan pelajaran dan peperiksaan yang seragam, pelajaran para pelajar tidaklah terganggu apabila terpaksa berpindah sekolah. Langkah ini boleh menolong proses menyatupadukan pelajar berbilang kaum di samping mewujudkan keperibadian yang sama.




BAB 4
DAPATAN KAJIAN

v Jumlah penduduk Tanah Melayu mengikut kaum dari tahun 1891-1931
KAUM
1891
1901
1911
1921
1931
MELAYU
231.5
312.4
420.8
510.8
593.7
CINA
163.4
299.7
433.2
494.5
711.5
INDIA
20.1
58.2
173.7
305.2
380.0
LAIN-LAIN
3.5
8.3
8.3
14.3
27.9
JUMLAH
418.5
678.6
1037.0
1324.8
1713.1


·                       Tiga kaum yang terbesar dan utama di Tanah Melayu ialah Melayu, Cina dan India. Sebelum penemuan tapak bijih timah oleh Long Jaafar pada tahun 1848, majoriti penduduk di Tanah Melayu terdiri daripada orang Melayu. Hanya sebilangan kecil orang Cina yang datang ke Tanah Melayu sebagai imigrin dan membuka penempatan mereka di Melaka, Kuala Terengganu, Sungai Johor, Sungai Pahang dan Kelantan. Seemntara itu, sebilangan kecil orang India yang bekerja sebagai buruh di ladang kopi dan tebu pula terdapat di Pulau Pinang dan Seberang Prai.

·                         Pada pertengahan abad ke-19, berlaku penghijrahan masuk kaum Cina dan India beramai-ramai ke Tanah Melayu. Fenomena kaum-kaum tersebut, terutama untuk tujuan dalam sektor ekonomi. Abad ke-19, memperlihatkan penguasaan British ke atas struktur politik dan ekonomi Tanah Melayu secara meluas. Aktiviti perlombngan Bijih Timah merupakan sumbur kekayaan Tanah Melayu yang dieksplotasi sepenuhnya oleh British.

·                         Pemajmukan masyarakat menyebabkan British mentadbir berdasarkan pendekatan  ‘pecah dan perintah’ di Tanah Melayu. Kaum imigrin dibiarkan untuk mengekalkan identiti dan budaya masing-masing sementara perhubungan langsung dengan kaum-kaum lain, terutama dengan bumiputera tidak digalakkan.



BAB 5
PERBINCANGAN DAN PENUTUP

            Pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia bermula apabila kemasukan migran daripada luar. Proses ini berterusan sehingga penjajahan British di Tanah Melayu. Oleh itu, wujud masyarakat berbilang kaum, ras, etnik dan bangsa di Malaysia. Kehadiran kelompok-kelompok ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan budaya, adab resam, bahasa dan latar berlakang kebudayaan yang berlainan. Kemajmukan masyarakat Malaysia menjadikan negara ini menjadi tarikan masyarakat luar.

             Masyarakat  majmuk di Malaysia terdiri dari pelbagai etnik yang dikategorikan  mengikut cara hidup, pola penempatan, pekerjaan dan pendidikan.Terdapat lebih 80 kaum di seluruh Malaysia. Daripada keseluruhan bangsa tersebut, terdapat tiga bangsa yang paling utama iaitu Melayu, India dan Cina dan  pelbagai etnik yang lain.  Dari aspek kesinambungan, kemasukan Pada hari ini, masyarakat majmuk di Malaysia terjadi secara tidak sengaja. Pada awal abad ke-19, lebih 90% penduduk Tanah melayu adalah Melayu. Namun pada pertengahan abad ke 19, penghijrahan masuk kaum Cina dan India secara beramai-ramai ekoran daripada Dasar Leberal Inggeris telah mengubah struktur kependudukan asal Tanah Melayu.

             Dari aspek kesinambungan, kemasukan imigran di dunia Melayu meninggalkan banyak kesan sama ada kesan positif mahupun kesan negatif. Ia bergantung kepada cara bagaimana kita melihat dan mentafsir kedatangan mereka. Namun kehadiran  masyarakat luar ke Tanah Melayu  telah mencorakkan  perspektif  masyarakat Melayu, membentuk budaya baru, mempertingkatkan daya saing dalam sektor ekonomi, melahirkan dimensi baru struktur politik rakyat dan sebagainya.




























12 comments:

  1. Assalamualaikum sang penulis, saya Anis Syuhada mintk izin kpd tuan hamba nak rujuk tuan hamba pnya tulisan ni. Bagus sngt u pnya huraian. Izin saya copy ya utk assignment saya!!

    ReplyDelete
  2. Tuan boleh tak saya dapatkan untuk tajuk ideologi politik...

    ReplyDelete
  3. BOLEH SAYA MINTAK TAJUK BUKU ATAUPUN SEBARANG RUJUKAN YANG CIK GUNAKAN

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum ,
    izinkan sya copy ye...

    ReplyDelete
  5. izinkan sy control c yer XD

    ReplyDelete
  6. izinkan hamba untuk membuat rumusan saya

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum,
    izinkan sya utk rujuk..

    ReplyDelete
  8. minta izin untuk copy di bahagian pengenalan

    ReplyDelete
  9. boleh saya tahu tak apa kesan dia?

    ReplyDelete
  10. Play Online Casino 2021 – KAdang Puntar
    Enjoy the best online casino 1xbet games at Kadang Puntar! We offer a wide หาเงินออนไลน์ range of games, exciting 온카지노 bonuses, and a big deposit bonus.

    ReplyDelete
  11. Lucky Club Casino Site - Play Online Slots
    Join Lucky Club Casino and play over 3000 games for real money and win big. Your chance to win real money luckyclub.live gambling prizes is waiting! Just register and start playing today!

    ReplyDelete